Friday 25 October 2013

Konsep Pre -Order di dalam Islam

Bismillahirrahmanirrahim

Sejak akhir-akhir ini muncul sistem pre-order dalam penjualan t-shirt. Kami di Harash Collections juga menggunakan sistem ini sebagai sistem utama kami dalam menjalankan perniagaan. Namun mungkin muncul di benak fikiran anda adakah konsep ini merupakan konsep yang patuh syariat. Jika anda mempunyai pemikiran seperti ini, tahniah kami ucapkan. Ianya menunjukkan anda adalah seorang yang peka dengan sistem jual beli yang semestinya kita inginkan yang mematuhi syariat.

Jawapan kepada persoalan itu adalah ya sememangnya konsep ini mematuhi syariat. Konsep yang kami gunapakai adalah salah satu daripada sistem jual beli yang dianjurkan di dalam islam yang dipanggil sebagai Bai' Al-Salam ataupun Bai' Al-Salaf

Al-Salam dari sudut bahasa (اللغة) ialah al-Salaf (السلف) yang bermaksud (التقديم) iaitu pendahuluan atau mendahulukan. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, Bai’ al-Salam didefinasikan sebagai : Menjual sesuatu yang dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan dengan lafaz al-Salam atau al-Salaf. Di dalam al-Fiqh ‘ala Mazahib al-‘Arba’ah menyatakan al-Salam ialah bahasa penduduk Hijaz, manakala al-Salaf ialah bahasa penduduk Iraq.

Sayyid Saabiq di dalam bukunya Fiqh al-Sunnah menyebut al-Salam dinamakan juga sebagai al-Salaf. Ianya penjualan sesuatu dengan dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan dengan bayaran segera. Di bahagian nota kakinya disebut, (al-Salam yang dinamakan juga al-Salaf) diambil dari perkataan al-Taslif (التسليف) iaitu al-Taqdiim (التقديم - Pendahuluan) kerana harganya didahulukan kepada penjual.

Ulama mazhab Syafie dan Hanbali mendefinasikannya sebagai satu akad ke atas suatu perkara yang disifatkan dalam tanggungan serta bertangguh dengan harganya diterima di dalam majlis ‘akad berkenaan. Ulama Maliki pula mendefinasikan sebagai “jualan yang didahulukan harga dan ditangguhkan barangan ke suatu tempoh.”

Maka Bai’ al-Salam atau al-Salaf adalah jual beli secara tempahan, dimana pembeli menempah barang dan melunaskan harganya. Manakala penjual menerima bayaran dan barangan yang ditempah akan diserahkan kepada pembeli dalam suatu tempoh tertentu.

Rukun Bai’ Al-Salam

Kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan terdapat empat rukun Bai’ al-Salam.

1- al-‘Aaqidaan (العاقدان) iaitu pihak yang mengikat perjanjian, mereka terdiri dari pembeli dan penjual. Pembeli ialah orang yang mendahulukan wangnya untuk mendapatkan barang dagangan (السلعة) yang dikehendakinya. Pembeli disebut sebagai al-Muslim (المُسلِم) atau pemilik al-Salam (رَبَّ السَلَمِ) iaitu yang menyerahkan atau mendahulukan bayaran. Manakala penjual ialah orang yang menerima wang sebagai bayaran kepada barangan yang akan diberikannya. Ia namakan sebagai al-Muslam Ilai (المُسلَم إليه). Pembeli dan penjual ini disyaratkan sama seperti syarat penjual dan pembeli dalam ‘akad jual beli iaitulah berakal, baligh, sukarela dan seumpamanya.

2- Al-Sighah (الصيغة) iaitu ijab (الإيجاب : Penawaran) dan qabul (القبول : Persetujuan). Sebagai contoh pemilik modal berkata : Saya dahulukan kepada kamu (أسلفتك) RM 1,000.00 ini untuk mendapat 1000 helai baju dengan sifat-sifatnya seperti berikut. Sementara penerima pula berkata : Saya terima pembayarannya (قبلت), atau Saya terima pembayaran yang didahulukan ini (استسلفت), atau seumpama dengannya. Satu pendapat di dalam mazhab al-Syafie menyatakan sighah mesti menggunakan perkataan salam atau salaf sahaja. Tidak sah jika menggunakan perkataan lain. Ini kerana ‘akad salam tidak sama dengan jual beli biasa. Namun satu pendapat yang lain mengatakan jika menggunakan sighah jual dan beli juga sah kerana Bai’ al-Salam juga adalah salah satu daripada bentuk jual beli yang memerlukan penerimaan dalam majlis ‘akad.

3- Ra-s al-Maal (رأس المال) iaitu modal atau harga. Ia bayaran yang dibuat oleh pembeli sebagai mendahulukan bayaran kepada penjual.

4- Al-Muslam fih (المسلم فيه) iaitu barang yang ditempah. Ianya barangan yang dijual dalam perjanjian dan penjual berjanji untuk menyerahkannya kepada pembeli dari bayaran harga yang didahulukan.

Syarat Bai’ al-Salam

Dalam ‘aqad al-Salam dikenakan beberapa syarat. Antaranya berkaitan dengan harga tempahan atau bayaran (رأس المال), yang lainnya berkaitan dengan barang yang dijual dengan al-Salam (المسلم فيه). Ulama empat Mazhab telah sepakat bahawa Bai’ al-Salam ini sah dengan enam syarat, iaitu :

1- Hendaklah ia diketahui jenisnya.

2- Hendaklah diketahui sifatnya.

3- Hendaklah diketahui jumlahnya.

4- Tempoh penyerahan ditentukan.

5- Mengetahui kadar nilai harganya.

6- Hendaklah tempat penyerahannya dimaklumi jika membawa barang tempahan ke sana memerlukan perbelanjaan.

Kesimpulannya kami serahkan kepada anda. Kami dengan segala upaya kami untuk melaksanakan pernigaan yang patuh syariat agar perniagaan kami ini dapat mencapai visi yang telah kami tetapkan. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kami dan juga pembeli kami

Wallahualam…

No comments: